News : Tanjung Offshore Bina Dua Lagi Kapal Dengan MSET
Date : 15 September 2005  
   
 

KUALA TERENGGANU, 15 Sept (Bernama) -- Tanjung Offshore Services Sdn Bhd (TOSSB) - sebuah syarikat perkapalan Bumiputera akan membina dua unit lagi kapal dengan MSET Engineering Corporation Sdn Bhd pada harga RM68 juta, kata Pengarah Urusannya Omar Khalid.

Beliau berkata, sebelum ini TOSSB telah membina sebuah "Anchor Handling Tug Supply Vessel", MV Tanjung Huma berukuran 60 meter bernilai RM34 juta dengan MSET yang mula dibina pada Mei tahun lepas dan siap dalam tempoh 16 bulan.

"Lanjutan dari kejayaan membina dan menyiapkan MV Tanjung Huma, maka MSET telah diberi kepercayaan untuk membina dua unit "Straight Supply Vessel" hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan sijil penerimaan Tanjung Huma kepada TOSSB dan perjanjian membina dua unit "Straight Supply Vessel" Tanjung Pinang 3 dan 4 di Pulau Duyong di sini, Khamis.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi MSET Hasnan Datuk Abdullah.

Kapal Tanjung Pinang Tiga dan Tanjung Pinang Empat masing-masing berukuran 60 meter bernilai RM34 juta setiap satu dibuat dalam tempoh 16 bulan di Dermaga MSET Pulau Duyong.

Omar berkata TOSSB kini sudah mempunyai empat buah kapal termasuk sebuah yang disewa dari negara luar dan empat buah lagi sedang dalam pembinaan dengan nilai RM250 juta. Katanya kapal yang sedang dibina itu ialah Tanjung Satu dan Tanjung Dua dibina di Pelabuhan Kelang manakala Tanjung Tiga dan Tanjung Empat akan dibina oleh MSET di Terengganu.Katanya, kapal bagi kerja-kerja pengendalian industri minyak dan gas di pesisir pantai Terengganu itu akan disewakan kepada syarikat-syarikat minyak seperti Petronas.

Sementara itu, Pengerusi MSET Hasnan Datuk Abdullah berkata, sejak ditubuhkan pada 1953, itulah kapal yang paling besar pernah dibina oleh syarikat Bumiputera itu.

Beliau berkata syarikat milik Bumiputera yang membina kapal dan bot itu mempunyai 150 kakitangan tetap dan 800 kakitangan kontrak, telah menghasilkan lebih 1,000 buah bot dan kapal sejak ia mula beroperasi.

Hasnan berharap TOSSB akan menjadi pelopor dan pencetus kepada syarikat lain untuk membina kapal dengan MSET yang mempunyai kepakaran dalam bidang pembinaan kapal sejak sekian lama.

Katanya MSET sedia menerima tempahan daripada mana-mana syarikat swasta selain dari jabatan-jabatan kerajaan kerana kepakaran yang ada telah terbukti dengan pengeluaran kapal dan bot yang beraneka bentuk.

Mengenai tapak dermaga di Pulau Duyong yang difahamkan sudah tidak sesuai kerana mempunyai kawasan yang sempit, Hasnan berkata, MSET telah diberi tempoh dua tahun oleh kerajaan negeri untuk berpindah ke tempat yang lebih sesuai. Katanya sehingga ini satu kawasan seluas 12 hektar di Seberang Takir telah dikenal pasti untuk dijadikan dermaga bagi pembinaan kapal.

"Setelah kerja-kerja di sini (Pulau Duyong) selesai dalam tempoh yang ditetapkan itu, kita akan berpindah ke tapak baru di Seberang Takir di sini," katanya.

     
Source: BERNAMA